Pembangunan Holistik Pelajar menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) memfokuskan kepada pembangunan sahsiah pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi menghasilkan graduan atau modal insan yang seimbang sama ada dari segi ketrampilan, bersemangat patriotik, berdisiplin dan bernilai murni ke arah pembentukan modal insan negara yang mempunyai personaliti unggul (towering personality) dan holistik.
Seiring dengan aspirasi ini, Modul Mahasiswa Holistik Edisi 01 telah berjaya dilaksanakan pada 16 November 2013 (Sabtu) di Masjid Riyadus Solihin, Parit Sempadan Laut oleh Jawatankuasa Pelajar, Kolej Kediaman Perwira (KKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ir. Dr. Amir Hashim bin Mohd Kassim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UTHM.
Menerusi edisi pertama ini, dua (2) kerangka asas modul iaitu hal ehwal fardu ain dan khidmat komuniti ditekankan. Pendekatan teori dan amali bagi wuduk, solat berkualiti, solat jamak dan qasar, solat jenazah, adab dan aurat ditekankan oleh penceramah dan fasilitator dari Pusat Islam UTHM.
Menariknya, menerusi pendekatan Blue Ocean Strategy (BOS), KKP kini bekerjasama dengan Pusat Islam UTHM serta pihak Masjid Riyadus Solihin juga. Untuk rekod, Masjid Riyadus Solihin juga telah dipersetujui oleh pihak jawatankuasa masjid sebagai Masjid Angkat KKP. Dengan adanya kerjasama ini pelbagai aktiviti yang membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak berjaya dilaksanakan. Ini juga berupaya merealisasikan peranan Universiti yang seharusnya memberikan impak positif kepada komuniti setempat.
Dalam aktiviti ini juga, polisi 1Penghuni Muslim 1Al-Quran juga telah dilancarkan oleh YBhg. Prof. Ir. Dr. Amir Hashim bin Mohd Kassim. Ini merupakan antara strategi ke arah menjayakan Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik Perwira yang telah dilancarkan sebelum ini, selain mengukuhkan kecintaan para penghuni terhadap Al-Quran.
 holistik1holistik2
holistik3