Program Eksplorasi Antarabangsa anjuran Pusat Kemajuan dan Hubungan Alumni (CARE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membawa seramai 20 orang delegasi  ke United Kingdom pada 19 hingga 25 Ogos lalu bagi menyelami corak pengurusan Alumni di dua buah institut pengajian terkemuka di sana.

Pelaksanaan program lawatan yang diketuai oleh Pengarah CARE, Dr. Mohammad Fahmi Abdul Ghafir ini adalah sebagai penghargaan kepada badan kepimpinan yang banyak membantu menggerakkan fungsi dan peranan CARE UTHM dalam menjalankan aktiviti yang dirancang sepanjang tahun. Untuk rekod, CARE UTHM sebelum ini telah banyak melaksanakan aktiviti yang melibatkan pelbagai kumpulan sasaran. Di samping itu, CARE juga terus gigih melakukan penambahbaikan dalam usaha menjadikan pusatnya sebagai ‘benchmarking’ kepada institut pengajian tinggi lain berkaitan pengurusan dan pembangunan Alumni.

Antara aktiviti rasmi yang telah dijalankan ialah lawatan ke ‘Imperial College Alumni Office’ dan ‘Cranfield University’, London. Lawatan kerja ini bertujuan untuk bertukar idea dan pandangan mengenai pengurusan dan pembangunan Alumni di institut masing-masing. Menariknya, kedatangan delegasi UTHM disambut baik dan amat dialu-alukan oleh pihak pentadbiran kedua-dua institusi terlibat.

Dalam pertemuan tersebut, pelbagai idea dan pandangan mengenai pengurusan pengkalan data, penerbitan, penjanaan sumber dana dan kutipan telah dikongsi dan dibincangkan secara bersama. Perkongsian ini telah memberi inspirasi kepada delegasi terlibat untuk terus menjadikan CARE sebagai sebuah pusat hubungan Alumni yang produktif dan efisyen sekaligus menjadikan UTHM sebagai universiti contoh di mata dunia.

Dalam lawatan itu juga, para delegasi turut dibawa melawat ke beberapa buah tempat yang menjadi ikon pelancongan negara tersebut seperti ‘Windsor Castle’, ‘Buckingham Palace’ dan ‘Eye of London’. Lawatan ke tempat-tempat tersebut pula bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para delegasi berkaitan budaya serta cara hidup masyarakat di sana yang sudah tentunya berbeza dengan masyarakat di Malaysia. Selain itu, pelaksanaan program seperti ini juga adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara Alumni UTHM, sama ada yang masih bergelar mahasiswa mahupun yang telah memasuki alam pekerjaan.

Disediakan oleh:

Suriayati Baharom

Pusat Kemajuan dan Hubungan Alumni (CARE)

Dikeluarkan oleh:

Shafry Salim

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia